KOTA KINABALU: Minyak Masak jenama ‘Sayang’ sebagai inisiatif menjadikan produk tersebut lebih mudah diperolehi sekali gus mampu dimiliki seluruh lapisan masyarakat di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata produk dìkeluarkan Kumpulan Sawit Kinabalu dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan bekalan serta menampung permintaan tinggi sejak kebelakangan ini.
“Kerajaan sentiasa peka kepada keperluan rakyat di Sabah memandangkan banyak kekurangan bekalan minyak masak serta kenaikkan harga yang tinggi sejak akhir-akhir ini.
“Ini adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat mendapatkan minyak masak mampu milik,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, produk ini keluarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB).
“Minyak Masak ini boleh didapati dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg….Harga minyak masak berkualiti tinggi ini jauh lebih murah berbanding jenama minyak masak tidak bersubsidi lain di pasaran.
“Harga minyak masak tidak bersubsidi (2kg) ialah RM13.20 manakala RM31.00 untuk botol 5kg. Harga minyak masak bersubsidi adalah standard iaitu RM2.50 sekilogram,” katanya.
Hajiji berkata, sehingga kini kapasiti pengeluaran bulanan Sawit Kinabalu ialah 150 tan untuk minyak masak bersubsidi manakala 100 tan untuk minyak masak tidak bersubsidi.
“Kita harap produk ini dapat menghapuskan isu kekurangan minyak masak di pasaran terutama di negeri ini,” katanya.