Fairuz dilantik Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan – Hajiji

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan dilantik pembantu menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan berkuatkuasa hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan yang juga sebelum ini merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri.

Katanya, berikutan pelantikan itu, jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal.

“Pelantikan Fairuz sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan sudah mendapat perkenaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Majlis angkat sumpah Fairuz (Datuk) akan ditetapkan oleh pihak Istana negeri dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Hajiji turut mengumumkan pertukaran dua pembantu menteri membabitkan Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Pertukaran dua pembantu menteri itu dilakukan berikutan pengosongan portfolio bagi jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda yang bertindak keluar meninggalkan kerajaan pada pertengahan Oktober lalu.

Berikutan pengosongan itu, tempat Wetrom akan digantikan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan manakala jawatannya akan diisi Datuk Julita Majungki sebelum ini Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.