Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat direalisasikan dengan kerjasama rentas kaum, bangsa dan politik – Kitingan

KOTA KINABALU: Aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah selaras dengan matlamat pembangunan mampan dan Sabah berada di landasan yang tepat dalam memenuhi matlamat ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata ini semua hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama dari semua pihak berkepentingan selaras aspirasi SDG ke 17, tidak kira latar belakang dan merentasi semua kaum, bangsa dan politik.

Jeffrey Kitingan

“Saya menyokong penuh terhadap matlamat program tersebut, yang mana menyediakan program pembangunan kapasiti kepada rakan pelaksana dan solusi untuk memastikan projek di akar umbi yang dilaksanakan membawa impak lebih besar dan mampan kepada komuniti dan golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program Pembangunan Kapasiti Rakan Kepada Solusi Wilayah Sabah 2023, di sini, semalam.

Selaku Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Kitingan berkata beliau akan sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada usaha berterusan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APGM)-SDG.

Jeffrey mencuba bahan pameran sebagai simbolik perasmian.

“Sebagai ahli kerajaan negeri dan ahli parlimen, boleh dikatakan saya juga adalah sebahagian daripada APPGM-SDG,” ujarnya.

Jelasnya, Malaysia komited kepada 17 matlamat tersebut yang merangkumi aspek kemanusiaan, kemakmuran, kebumian, keselamatan dan kerjasama, yang merupakan Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada tahun 2015, dan perlu dicapai pada 2030 iaitu tempoh tinggal tujuh tahun dari sekarang.

“Kumpulan APPGM-SDG telah diberikan mandat oleh Parlimen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua ahli-ahli parlimen dan pihak berkepentingan agar aspirasi global ini dapat di lokalisasi di peringkat kawasan parlimen,” katanya.

Menurutnya setakat dari 2000 hingga tahun 2023, sebanyak 97 projek Solusi di lebih 14 Kawasan Parlimen seluruh Sabah, dijalankan oleh lebih 54 Solusi yang terdiri daripada universiti awam antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), bukan badan kerajaan, Koperasi, dan juga usahawan sosial.

Katanya, seperti yang dijalankan oleh NGO Pikos, Projek Solusi yang dijalankan merangkumi program penyelesaian isu air bersih, penjanaan pendapatan golongan B40, pemerkasaan wanita dan belia, kemahiran kepada golongan OKU, pendidikan kepada golongan terpinggir dan terpencil dan juga pembinaan pusat pembelajaran komuniti.