KOTA KINABALU: Seorang wanit hamil maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Lintas berhampiran City Mall dekat sini, awal pagi tadi.
Ia membabitkan sebuah kenderaan pacuan roda jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta Proton Iswara.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada jam 3.58 pagi melalui talian MERS999 sebelum menggerakkan pasukan Bomba daripada BBP Lintas ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK II Selvister Yamud melaporkan, kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu telah bertembung.
Terdapat tiga mangsa yang berada di dalam kereta Proton Iswara iaitu dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa kesemuanya mengalami kecederaan parah.
Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
Salah seorang mangsa wanita yang terlibat dipercayai sedang hamil disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala dua lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan menaiki jentera Unit EMRS dan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu Toyota Hilux seorang lelaki berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.