SEMPORNA : Lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan kawalan dalam serbuan dan pemeriksaan yang diadakan serentak di beberapa lokasi sekitar Pulau Denawan dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata individu yang ditahan melibatkan seorang warga tempatan dan empat warga asing yang berumur lingkungan 24 hingga 65 tahun.
Katanya, mereka ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan lebih kurang pukul 7 malam oleh sepasukan sembilan pegawai dan 35 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
“Hasil serbuan, pihak polis turut merampas empat buah bot dan lapan enjin serta 843 tong jerikin berisi minyak petrol yang dianggarkan mengandungi sebanyak 21,075 liter minyak petrol. Kita percaya barang kawalan ini akan diseludup ke negara jiran,” katanya.
Menurut beliau, nilai rampasan bot beserta enjin dan minyak petrol tersebut dianggarkan sebanyak RM150,000.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan ke IPD Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Jelasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan penyeludupan barangan kawalan bersubsidi ke negara jiran.