Masyarakat Tionghua digesa menyokong Gagasan Rakyat di Sabah – Najib

TAWAU: Masyarakat Tionghua digesa menyokong parti tempatan sekali gus menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi memperjuangkan kepentingan rakyat yang lebih baik di negeri ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Santun Kasih Sabah (Persantun) Datuk Najib Tay Abdullah berkata, Gagasan Rakyat diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mewujudkan persekitaran inklusif dengan matlamat untuk kemajuan dan pembangunan di negeri Sabah.

Katanya, dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mampu menyatukan kekuatan semua kaum dalam memacu pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Kita melihat Hajiji memainkan peranan penting dalam mempercepatkan proses pembangunan di Sabah.

“Di bawah teraju Ketua Menteri, Gagasan Rakyat telah terbukti sesuai dengan keperluan masyarakat tionghua serta komited untuk membawa kemajuan ke Sabah,” katanya di sini hari ini.

Najib berkata, penyertaannya dalam Gagasan Rakyat akan membantu melengkapkan sumber dan bakat politik parti itu.

“Keputusan saya menyertai Gagasan Rakyat kerana ideologi dan matlamat politik parti itu selaras dengan kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.