Masalah tapak tanah Pasar Karamunting yang tidak stabil mulai diatasi

SANDAKAN: Kerajaan Negeri telah mula mengambil tindakan berhubung tapak tanah yang tidak stabil di Pasar Karamunting selepas masalah itu dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin ke perhatian pihak berkuasa.

Pihak kontraktor yang dilantik telah dihantar untuk menyelidik dan mengkaji tapak tanah pasar dan kawasan sekitar bermula Selasa sebelum kerja pembaikpulihan separa dimulakan.

Masalah timbul sejak beberapa tahun lalu termasuk tapak tanah mulai runtuh dan lantai pasar mulai rosak meskipun pasar tersebut baharu sahaja digunakan pada 2016.

Menurut Hiew, Pasar Karamunting telah dipindahkan ke tapak tersebut pada November 2016 dengan menelan kos sebanyak RM10 juta.

Namun, penduduk sekitar termasuk penjaja berasa kecewa selepas masalah demi masalah timbul yang mana tempat letak kereta dan kaki lima mula retak dan tanda-tanda awal yang pasar ditepi laut  itu juga berisiko akan runtuh.

“Pihak kerajaan negeri telah melantik kontraktor untuk mengkaji dan menyelidik keadaan tanah di tapak ini agar tindakan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dapat diambil secepat mungkin.

“Saya difahamkan kakitangan kontraktor akan mengambil masa beberapa hari untuk mengkaji tanah di kawasan ini.

“Ini merupakan satu perkembangan yang amat baik bagi penduduk di Karamunting kerana tindakan awal untuk pembaikpulihan pasar dan tapak pasar ini telah pun bermula,” katanya selepas melakukan tinjauan kerja-kerja kakitangan kontraktor di pasar Karamunting.

Terdahulu, penjaja-penjaja di pasar itu mengadu pelbagai masalah kerosakan infrastruktur seperti terdapat lubang besar di jalan berhampiran serta lantai kaki lima dan tempat letak kereta yang mulai retak.

“Justeru, selepas beberapa kali berjumpa dengan pihak Kerajaan Negeri Sabah, mereka akhirnya menerima cadangan saya untuk mengkaji keadaan tanah di sini dan seterusnya melakukan pembaikpulihan separa secepat mungkin,” tambahnya.

Hiew berharap Pasar Karamunting dapat dibaikpulih secepat mungkin demi kelangsungan ekonomi penjaja setempat selain menjamin keselamatan masyarakat secara keseluruhannya.