Maritim Sandakan rampas 510 paket minyak masak bersubsidi cuba diseludup ke negara jiran

SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan merampas 510 paket minyak masak bersubsidi cuba diseludup ke negara jiran.

Ia selepas sebuah bot yang berdaftar atas lesen kargo terdampar di pesisir pantai Pulau Berhala, Sandakan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10.20 malam, semalam.

Maritim Sandakan rampas 510 paket minyak masak bersubsidi cuba diseludup ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kapt Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot yang ditemui tanpa pemilik itu dipercayai dibiarkan di kawasan itu setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa melakukan rondaan di sekitarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan 30 kotak besar berisi 510 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu dan disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut dianggarkan sekitar RM11,000, katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kesemua rampasan telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.