Mantan pengarah ditahan minta rasuah lebih RM1 juta

Kota Kinabalu: Seorang mantan Pengarah di salah sebuah jabatan Kerajaan Negeri telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah kira-kira lebih RM1.2 juta membabitkan kerja-kerja perkhidmatan daripada dua buah syarikat.

Sumber memberitahu, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah kira-kira jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang kini berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan lain disyaki menerima habuan itu sebagai balasan memberi projek perkhidmatan penundaan di jabatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2018.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata, suspek di jangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat.