KINABATANGAN: Seramai 65 kanak-kanak menyertai program Khatan Nusantara anjuran Pemuda PAS Kinabatangan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu di Dewan Terbuka Masjid Al-Ghafar di sini, semalam.
Ketua Pemuda PAS Kinabatangan, Abdul Aziz Baitul Makmur berkata program dianjurkan bagi membantu masyarakat setempat berikutan peningkatan kos berkhatan yang memberi kesan kepada keluarga B40.
“Kita merakam ucapan terima kasih kepada PAPISMA Terengganu kerana sanggup datang ke Kinabatangan bagi membantu masyarakat di sini.
“Alhamdulillah dengan bantuan PAPISMA kita berjaya mengurangkan kos perbelanjaan khatan kepada hanya RM50 seorang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kos berkhatan bagi seorang kanak-kanak sekarang meningkat antara RM200 hingga RM250 di Sabah.
Abdul Aziz berkata pengurangan kos khatan menyebabkan sambutan masyarakat terhadap program Khatan Nusantara menggalakkan terutamanya golongan B40.
Menurutnya Pemuda PAS Kinabatangan berusaha meringankan beban mereka dalam melaksanakan kewajipan bagi setiap Muslim.
“Program tahunan ini amat signifikan dalam situasi sekarang kerana ramai terkesan dengan penularan Covid-19. PAPISMA banyak membantu dengan menyediakan doktor yang berpengalaman bagi menjayakan program tersebut,” kata Abdul Aziz.