Sabah dapat manfaat besar apabila sempadan dibuka semula – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah akan mendapat manfaat besar khususnya bagi sektor pelancongan berikutan keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara mulai 1 April ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mengalu-alukan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu semalam berkata ekonomi Sabah terjejas teruk sejak penutupan sempadan antarabangsa kira-kira dua tahun lalu kerana pelancongan adalah antara sumber pendapatan utama negeri.

Menegaskan keperluan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, Hajiji berkata Sabah telah bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan memastikan ini akan membantu ekonomi.

Hajiji berkata Sabah akan menunggu pengumuman terperinci supaya ia boleh menyelaraskan SOP untuk memenuhi keadaan dan keperluan negeri.

“Dalam beberapa penglibatan saya dengan pemain industri pelancongan, ini (pembukaan semula sempadan) adalah yang sentiasa mereka desak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Hajiji telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk K L Tan yang telah merayu untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Perdana Menteri pada pengumuman khas itu semalam berkata keputusan untuk membuka semula sempadan dibuat berdasarkan “sains dan fakta terkini” mengenai COVID-19, dengan menyatakan bahawa negara lain juga telah mula membuka sempadan mereka.

Sempadan negara telah ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.