KOTA KINABALU : Selepas tewas tipis dalam PRN 2020, meskipun memperolehi kerusi terbanyak, Warisan yang bertanding secara solo dijangka memberi saingan hebat kepada parti pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ramai pemerhati politik berpendapat Warisan mempunyoi kekuatan holistik dan jentera pilihan raya yang cukup mantap untuk bersaing dengan GRS atau BN-PH dalam PRN ke-17.
Namun, ramai yang tertanya-tanya sama ada parti tempatan Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu mampu bangkit semula seperti Donald J. Trump yang kembali menduduki kerusi panas Presiden Amerika Syarikat selepas tewas dalam pemilihan presiden sebelum
ini.
Aktivis Sosial Salman Nurillah berpendapat tiada yang mustahil dalam arena politik.
“Apapun boleh berlaku dalam bidang politik. Berdasarkan pengamatan saya,
meskipun Warisan kini berada dalam blok pembangkang di peringkat negeri, sokongan rakyat terhadap parti ini masih kuat.
“Dan jika keluhan rakyat tentang masalah air, elektrik dan jalan raya diambil sebagai indikasi, saya percaya parti tempatan seperti Warisan tidak wajar dipandang ringan dalam PRN,” katanya.
Salman berkata Warisan yang memerintah negeri ini selama dua tahun sebelum ini, masih dilihat sebagai antara pilihan terbaik untuk mengambil tampuk kerajaan Sabah.
Beliau berkata antara legasi kejayaan Warisan ialah memperhebatkan program pemberian geran tanah kepada penduduk kampung yang layak dan memperkenalkan cukai jualan ke atas produk minyak dan gas di Sabah.
Beliau berkata terdapat banyak faktor atau kelebihan yang dilihat memberi kelebihan kepada Warisan berdepan PRN.
“Saya lihat Warisan juga telah memperjuangkan MA63 dengan membawa usul pindaan perlembagaan bagi mengiktiraf kedudukan setara wilayah Malaysa, Sarawak dan Sabah walaupun akhirnya rang-rang undang-undang itu gagal diluluskan di Parlimen.
“Apa yang pasti ialah Warisan muncul parti tempatan Sabah pertama yang berjaya membawa usul pindaan itu di Parlimen melalui mendiang Datuk VK Liew,” katanya.
Bagi Salman, tempoh memerintah dua tahun itu terlalu singkat untuk menjayakan hala tuju dan agenda pembangunan negeri Sabah.
Menurutnya, selain menyelesaikan isu berkaitam MA63 yang masih belum dipenuhi oleh kerajaan persekutuan, Warisan juga telah menyatakan tekad untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi sekian lama oleh rakyat negeri ini.
Difahamkan juga Warisan berhasrat untuk menangani masalah gangguan bekalan elektrik dan seterusnya cuba mencari
jalan penyelesaian kepada masalah jalan raya, katanya.
Menurut Salman, berdasarkan kenyataan para pemimpin Warisan, parti tempatan itu turut memberi penekanan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia dengan membuka kilang-kilang yang berkaitan dengan hasil bumi Sabah.
“Saya lihat Warisan juga meletakkan sasaran untuk memperhebatkan usaha bagi mengelak ketirisan kewangan dengan menekankan bahayanya rasuah selain memastikan negeri Sabah ditadbir oleh parti lokal tanpa acuan Malaya,” katanya.
Bagaimanapun, Salman berkata misi dan wawasan itu hanya dapat direalisasikan sekiranya Shafie Apdal atau Warisan diberi mandat yang sepenuhnya oleh rakyat Sabah dalam PRN ke-17.
Katanya ia bukan sesuatu yang mudah dicapai kerana Warisan terpaksa berdepan segala kekuatan jentera pilihan raya parti pemerintah GRS dan juga gabungan kerjasama PH-BN.