Permintaan Tinggi, Lebih Ramai Petani Terlibat Tanaman Koko – Hajiji

KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ingin melihat lebih ramai petani menceburi penanaman koko dan memperluaskan 3,000 hektar tanah yang sudah diusahakan di Sabah.

Beliau berkata, terdapat peningkatan permintaan antarabangsa bagi produk koko Malaysia, dengan nilai eksport mencapai rekod RM15.06 bilion tahun lalu, tiga kali ganda berbanding tahun 2023.

“Kita bangga bahawa Sabah telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko negara.

“Saya gembira bahawa kira-kira 3,000 petani koko di daerah Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut telah mendapat manfaat,” katanya.

Teks Ucapannya disampaikan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, ini adalah satu acara penting bagi Sabah dan mencerminkan peranan besar negeri dalam industri koko Malaysia.

Beliau memuji Lembaga Koko Malaysia atas usaha menggerakkan kejayaan ini.

Ketua Menteri berharap Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) dan majlis makan malam ini akan membawa manfaat yang berkekalan.

“Ini termasuk dari perkongsian dan pelaburan baru kepada peningkatan kesedaran global mengenai kekuatan Sabah.

“Ia bukan sahaja sebagai negeri pengeluar koko utama di Malaysia, tetapi juga sebagai destinasi untuk perniagaan, pelancongan dan kebudayaan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pempamer antarabangsa dan pengeluar koko.

“Ini termasuk usahawan dan PKS tempatan, institusi akademik dan kepada penaja dan rakan kongsi, baik dari Malaysia mahupun luar negara, yang telah menjayakan MICF 2025 ini,” katanya.