GOMBAK: Malaysia masih menjadi destinasi pelabur asing walaupun negara berdepan ancaman pandemik berterusan dengan jumlah kes baharu berlegar sekitar 20,000 setiap hari.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia terbukti apabila Malaysia merekodkan pelaburan baharu berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama tahun ini.
Katanya, jumlah itu adalah lonjakan 95.6 peratus berbanding RM41.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun berdepan pandemik berterusan, Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan yang amat diminati pelabur asing.
“Ini mungkin kedudukan Malaysia yang strategik dan peranan kita dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang boleh membuka pasaran lebih luas di masa akan datang.
“Ini peluang terbaik untuk Malaysia dan saya beri komitmen kepada Perdana Menteri bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meningkatkan usaha menarik pelaburan ke dalam negara dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam laporan Berita Harian, hari ini.
Terdahulu, beliau melakukan ziarah prihatin ke atas empat beradik yang kematian ibu bapa akibat COVID-19 di Kampung Melayu Sri Gombak, di sini.
Ditanya pembaharuan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selepas dilantik semula menerajui kementerian itu, Mohamed Azmin bertekad meneruskan usaha menarik pelaburan baharu ke Malaysia kerana ia asas pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara.
Selain itu, katanya, MITI akan terus membantu menjamin dan melindungi pekerjaan sedia ada, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi.
“Contohnya, semalam saya umumkan setelah sekian lama berunding dengan pembuat kenderaan Porsche, mereka bersetuju membuka satu kemudahan baharu di luar Jerman iaitu di Malaysia.
“Ini akan memberi peluang kepada tenaga kerja Malaysia untuk terbabit secara langsung dalam teknologi pembuatan kereta berkualiti tinggi atau kejuruteraan jitu.
“Baru-baru ini dalam misi perdagangan saya ke Austria, Turki dan Qatar juga kita berjaya menarik pelaburan berkualiti,” katanya.
Mohamed Azmin juga mahu memperkukuh prestasi eksport negara dengan mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam melaksanakan program di bawah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Katanya, jumlah eksport negara sudah melebihi RM100 bilion bagi setiap tiga bulan iaitu Mac, April dan Jun lalu, menunjukkan permintaan luaran meningkat akibat pembukaan sempadan di negara luar dan membuktikan produk Malaysia adalah kompetitif serta diterima baik pasaran antarabangsa.
“Ini akan kita perkukuhkan untuk memastikan PKS kita dapat melaksanakan program di bawah IR4.0 menggunakan automasi dan robotik, supaya pengeluaran dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa,” katanya.