KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden (PH) membatalkan keputusannya sebelum ini.
Menurut Guan Eng, berkata Majlis Presiden PH sebelum ini sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama disebabkan peranannya sebagai ‘pengkhianat’ dalam Langkah Sheraton.
“Kita tidak boleh bekerjasama dengan orang yang tidak boleh dipercayai. Kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.
“Saya akan menentang sebarang pembalikan keputusan sebelum ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Guan Eng berkata, PH sedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain, namun dengan syarat mereka menerima peranan kepemimpinan PH dan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.