KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan termasuk syarikat asing yang gagal atau lewat membayar gaji pekerja selaras dengan peruntukan dalam Ordinan Buruh Sabah.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, beliau memberi amaran kepada majikan di Sabah agar memahami Ordinan Buruh Sabah sekali gus membaca serta faham berkaitan akta tersebut.
Katanya, kementeriannya akan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak membayar gaji atau lewat sekali gus memastikan mereka membayar bayar gaji mengikut perjanjian yang disediakan.
“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga akan memastikan proses pembayaran gaji dilakukan seperti dijanjikan majikan, selain bersedia menerima jika ada lagi aduan daripada pekerja lain berhubung perkara sama.
“Bagi memastikan proses ini benar-benar berlaku, pegawai JTK akan berada di tapak pembinaan esok dan lusa (hari ini dan esok) untuk memantau dan mendengar kemungkinan ada lagi aduan pekerja lain,” katanya di sini semalam.
Beliau diminta mengulas rakaman video yang tersebar kelmarin memaparkan pergaduhan di antara pekerja dan majikan di sebuah tapak pembinaan kilang yang dilaksanakan pelabur asing di KKIP.
Semalam, polis menahan dua pekerja yang disyaki memukul majikan warga Korea di tapak pembinaan sebuah kilang di KKIP yang dibangunkan syarikat dari Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis.
Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kontraktor pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, bersetuju melangsaikan bayaran gaji kira-kira 600 pekerja yang tertunggak bulan lalu, berjumlah kira-kira RM3.8 juta.
“Syarikat terbabit bersetuju membuat pembayaran berkenaan pada hari ini dan esok selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, semalam.
“Arahan itu dikeluarkan selepas berlaku kes pergaduhan di antara pekerja dengan majikan warga asing dari Korea, kelmarin yang berpunca daripada kelewatan pembayaran gaji bagi bulan lalu.
“Kes ini berlaku semalam (kelmarin) dan mengikut sumber majikan serta pekerja yang dimediasi oleh Pengarah JTK Sabah sendiri, isunya ialah kelewatan pembayaran gaji bulan Mac.
“Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan, maknanya berlaku kelewatan gaji pada Mac. Jadi berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.
“Berikutan itu Pengarah JTK Sabah bersama Ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji yang tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya.