25 C
Kota Kinabalu
Friday, July 1, 2022

Lindungi aktiviti pemalsuan cukai jualan minyak sawit: Individu bergelar ‘Datuk’ ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Seorang bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini, bagi membantu siasatan kes berkaitan tindakan melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan, kepada Kementerian Kewangan Sabah.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy berkata penahanan suspek itu, susulan tangkapan seorang pegawai kanan dan pesara kerajaan pada 18 Mei lepas, bagi membantu siasatan kes sama.

“Suspek lelaki berusia 66 tahun, yang merupakan bekas penjawat awam itu, ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

“Permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Karunanithy, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengusaha kilang kelapa sawit di seluruh Sabah supaya tampil untuk membantu siasatan, kerana mengemukakan pengisytiharan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Mei lepas, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah, kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit, sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada MOF.

Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari terhadap kedua-dua individu berkenaan bermula 19 hingga 25 Mei ini.

— BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

156,572FansLike
2,122FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles