Lima laporan polis terhadap warga China bekerja di sektor pelancongan di Semporna tanpa dokumen sah

SEMPORNA : Lima pengusaha pelancongan membuat laporan polis berkaitan warga China menyalahgunakan pas lawatan didapati bekerja di sektor pelancongan di daerah Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, laporan itu mendakwa warga China tersebut dikenal pasti bekerja tanpa pas kerja yang sah.

Katanya, pihaknya menerima laporan terbabit daripada lima penguasa pelancongan mendakwa warga China bekerja tanpa menggunakan permit yang sah.

“Lima pengusaha pusat pelancongan ini tidak berpuas hati terhadap warga China terbabit selepas didapati bekerja tanpa dokumen sah daripada pihak berkuasa.

“Pengadu juga mendakwa golongan ini dikhuatiri akan menimbulkan kesan negitif terhadap sektor pelancongan serta perniagaan di daerah Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata, pihaknya sudah merujuk laporan polis ini kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) untuk tindakan selanjutnya.