LIGS serah sumbangan RM1.5 juta kepada kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM1.5 juta kepada kerajaan negeri bagi bayaran tahun 2022.

Sumbangan yang diserahkan oleh Pengerusi LIGS Datuk Edward Linggu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu adalah yang kedua selepas RM1.3 juta pada 2021.

Penyerahan sumbangan yang berlangsung di Menara Kinabalu hari ini turut dihadiri Pengurus Besar LIGS Sabdil Tanjong dan ahli lembaga LIGS.

Pada masa sama, LIGS turut memberikan taklimat kepada Hajiji berkaitan aktiviti agensi itu seperti Insentif Pembelian Getah (IPG), Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) 2023 dan lengkah ke hadapan untuk melonjakkan industri getah di negeri ini.