KUALA LUMPUR: Tiada bukti berlakunya penukaran label beras putih tempatan kepada import ditemukan dalam Operasi Beras Putih yang dijalankan di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 500 pemeriksaan di peringkat kilang, pemborong, dan peruncit telah dilaksanakan bermula 17 Julai lalu.
“Kementerian telah melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan mulai 17 Julai 2023 di seluruh negara.
“Operasi ini bagi mengesan sebarang salah laku seperti aktiviti penyorokan beras.
Ujarnya, beberapa langkah intervensi telah diambil melibatkan penguatkuasaan dan sesi libat urus dengan pemain industri bagi menangani isu kekurangan beras tempatan di pasaran.
“Kementerian telah laksanakan operasi beras putih tempatan bermula 16 Ogos 2023 meliputi pemeriksaan di kilang padi dan pemborong beras.
