Lelaki Warga Emas Maut Kemalangan Jalan Raya

LAHAD DATU : Seorang lelaki warga emas dilaporkan maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di kilometer 58, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tungku dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang maut memandu Proton Saga dikatakan keluar dari simpang di sebelah kiri secara tiba-tiba.

“Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 41 tahun bersama seorang penumpang dipercayai gagal mengelak dan terus merempuh sehingga kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, pemandu Proton Saga yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dzulbaharin berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tungku manakala pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita sudah mengambil sampel darah kedua-dua pemandu juga sudah diambil untuk ujian alkohol dan dadah di Jabatan Kimia.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelas Dzulbaharin.

Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.