GRS Bersiap Sedia Tanding Solo Pada PRN17 Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi isyarat bersedia bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah sudah memuktamadkan keputusan untuk bekerjasama.

Katanya, beliau menyifatkan langkah itu selaras dengan prinsip GRS yang mahu kerajaan negeri terus dipimpin oleh parti tempatan sebagai tonggak utama.

“GRS juga sedia memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

“Jika keputusan muktamad PH dan BN bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan dengan kita,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hajiji merupakan Pengerusi GRS berkata, bermakna daripada keputusan ini sudah tentu ia mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah.

“GRS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan itu bagi menghadapi PRN yang akan datang.

“GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka,” jelas Hajiji.

Hari ini, BN-PH mengesahkan kerjasama bagi menghadapi PRN17 berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.