Lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran

TUARAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam satu kejadian kebakaran melibatkan rumahnya sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Tagas, Jalan Pertanian Tuaran pada kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 10.35 malam dan sepasukan lapan anggota diketuai oleh beliau sendiri bergegas ke lokasi. 

“Turut serta dalam operasi ialah lima Pegawai Kanan FIO Negeri dan Bahagian Operasi. Agensi lain yang turut berada di lokasi ialah anggota PDRM, KKM dan SESB.

“Setiba di tempat kejadian yang terletak enam kilometer dari BBP itu, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal ukuran 50×40 terbakar 100 peratus.” katanya.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan dengan sumber air dari jentera water tanker.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.31 malam, katanya, sambil menambah, terdapat seorang mangsa yang ditemukan rentung. 

“Mayat mangsa berumur 72 tahun itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Selepas pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 1.34 pagi,” katanya.