TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengugut mahu membakar dan memukul ibunya serta ahli keluarganya membawa padah apabila dia ditahan polis dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, suspek berusia 49 tahun dipercayai berang selepas ditegur ibunya yang berusia lingkungan 80 tahun kerana sering pulang lewat malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Satu laporan diterima sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek.
“Suspek berjaya ditahan di kawasan Jalan Perikanan, Kampung Sungai Imam,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi.
