TAWAU: Seorang lelaki bertindak menyerah diri kepada polis selepas dipercayai mencederakan mangsa menggunakan objek berbahaya dalam kejadian di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, suspek warga asing berusia lingkungan 30-an tampil ke Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan sebelum mengaku terlibat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek turut menyerahkan objek dipercayai ekor pari yang digunakan dalam kejadian.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes berkaitan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
