Lelaki rentung kereta bertembung pacuan empat roda

NABAWAN: Seorang lelaki tempatan rentung selepas kereta dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Sook – Nabawan di sini pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Wahab Marjuk berumur 61 tahun ditemui rentung dalam kereta jenis proton saga pada kejadian kira-kira jam 10.00 pagi tadi.

Kereta bertembung dengan pacuan empat roda. Gambar Bomda dan Penyelamat Sabah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.30 pagi tadi berkaitan kejadian kemalangan jalan.

Katanya, kemalangan melibatkan dua kenderaan jenis Proton Saga dan Isuzu Dmax bertembung lalu menyebabkan kenderaan Proton Saga tersebut terbakar.

“Kebakaran ini dipadam oleh orang awam sebelum menanti ketibaan jentera Bomba.

“Terdapat seorang mangsa lelaki ditemui rentung di dalam kenderaan Proton Saga manakala mangsa diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Bomba berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan kemudiannya di hantar orang awam ke Hospital.

Operasi tersebut ditamatkan pada jam 11.29 pagi tadi.