Lelaki maut selepas keretanya terbabas

NABAWAN: Seorang lelaki tempatan maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di Kampung Malampoi berdekatan ladang sawit Felcra, Batu 48, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook PBK II Razlan Aridy berkata, mangsa dikenali sebagai Putera Azzalie Sulayul, 25, yang tersepit dalam kenderaannya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.39 pagi tadi berhubung kejadian berkenaan.

“Sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback terbabas sendiri di tepi jalan.

“Seorang pemandu tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian. Mangsa dilaporkan tercampak keluar sebelum dihempap kenderaannya sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Razlan berkata, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

Operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.28 pagi.