KOTA KINABALU : Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai menjalankan aktiviti memukat ikan bersama rakannya di pesisir Pantai Kuala Putatan Dua, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Sajd Lumait, 71, ditemukan jam 4.04 petang tadi oleh orang awam pada jarak satu kilometer lokasi mangsa di laporkan hilang.
Katanya, mangsa dilaporkan keluar ke lokasi tersebut bersama rakannya sekitar jam 10.00 pagi kemudiannya disedari hilang jam 12.00 tengahari tadi.
“Pasukan Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.02 petang kemudian bergegas ke lokasi kejadian di mana mangsa dilaporkan hilang.
“Berdasarkan maklumat diperoleh Bomba bersama kekuatan empat anggota seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat dipersisiran pantai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Jurucakap tersebut, mangsa berjaya ditemukan oleh orang ramai kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.