TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai menceroboh sebuah rumah dan mencabul seorang suri rumah sambil mengacukan pisau dalam kejadian di Kampung Inderasabah, Tawau, awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi, ketika mangsa sedang tidur bersama dua anak perempuannya sebelum tersedar selepas merasa paha kanannya diraba.
Menurutnya, suspek berada di sebelah mangsa sambil memegang sebilah pisau dan mengugut supaya mangsa tidak menjerit.
“Mangsa bagaimanapun menjerit kerana panik, menyebabkan dua anaknya terbangun, sementara suami mangsa yang berada di bilik lain bergegas keluar.
“Suspek kemudian melarikan diri melalui bahagian dapur.
Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan seorang lelaki di sebuah rumah dalam kampung sama pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, Polis turut merampas pisau sepanjang 27 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.
“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cabul) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugut jenayah).
“Semakan rekod menunjukkan suspek tidak mempunyai kes lampau,” jelasnya.
Jasmin menegaskan bahawa polis memandang serius kes pencerobohan kediaman yang mengancam keselamatan masyarakat.
