Lebih 20 ahli BERSATU Cawangan Belukut Labuan tinggalkan parti

LABUAN: Lebih 20 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Belukut Labuan pada Rabu lepas mengumumkan keluar parti berkenaan.

Bekas Ketua Penerangan Parti di cawangan itu itu, Juali Latif berkata, mereka semua membuat keputusan itu sendiri kerana kecewa dengan pimpinan tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini mereka semua belum lagi membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti yang meyokong kerajaan hari ini.

Dalam pada itu, Juali yang sebelum ini adalah ahli UMNO Belukut tidak menolak akan lebih ramai lagi ahli-ahli parti BERSATU cawangan itu akan meninggalkan parti kerana bukan sahaja kecewa, malah telah hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan parti diperingkat pusat.

“Kami kecewa kerana selama ini kami rasa terpinggir tanpa sebarang bantuan khususnya kepada ahli-ahli yang memerlukan bantuan daripada parti.

“Jadi kami rasa tidak perlu lagi kami bersama sama parti yang mengabaikan kebajikan ahli… kami sebulat suara memgambil keputusan untuk meninggalkan parti BERSATU,” kata Juali.