TAWAU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri gagal apabila dia diberkas polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dan menunggang motosikal curi dalam rondaan cegah jenayah di Lorong Muhibbah BAL, Jalan Kuhara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, suspek warga tempatan berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan Strike Team Balai Polis Tawau ketika berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek cuba meloloskan diri ketika hendak diperiksa namun berjaya ditahan dengan menggunakan kekerasan minimum.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg silang suspek menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
“Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal Yamaha 135LC hitam yang ditungganginya pula mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu dan motosikal itu dilaporkan hilang pada 4 April lalu di daerah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat rondaan cegah jenayah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan jenayah di daerah ini.
