Jangan guna mahkamah untuk tangguh hak Sabah’ – Azizah

‘KOTA KINABALU: Hak 40 peratus hasil Sabah tidak boleh terus dilengah-lengahkan dengan alasan teknikal termasuk keputusan ‘stay of execution’, kata Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, penangguhan rundingan mencerminkan kegagalan politik untuk menghormati hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“‘Stay’ bukan bermaksud rundingan perlu dihentikan. Jika ada kesungguhan politik, rundingan mesti berjalan tanpa henti,” katanya dalam kenyataan.

Azizah turut menegaskan rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak berkenaan, namun terus dinafikan melalui pelbagai alasan.

Mengulas isu subsidi diesel, beliau menolak dakwaan Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata.

Katanya, hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak, justeru negeri berkenaan berhak menikmati manfaat daripada sumber sendiri.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Sabah diberikan tambahan kerusi Parlimen bagi mencerminkan keluasan negeri dan keperluan rakyat.