KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan terus memberi komitmen sekali gus menjamin kestabilan politik sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Konvensyen Khas PKR Sabah akan memantapkan program jentera diadakan dalam masa terdekat serta berkala sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, beliau menyeru agar pucuk pimpinan PKR Sabah merapatkan perjuangan serta berpadu dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengangkat martabat rakyat dan negara tercinta.
“Saya menerima lantikan diamanahkan Presiden sebagai tanggungjawab serta bukan keistimewaan. Ini merupakan tanggungjawab yang besar dalam memastikan parti dapat dimantapkan sehingga ke peringkat akar umbi.
“Kini tiba masanya PKR Sabah fokus dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka Gagasan Malaysia Madani selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil mengumumkan rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan selepas enam negeri lain menerima kepimpinan baharu pada Februari lalu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud merupakan Ahli Parlimen Sepanggar dilantik sebagai Pengerusi MPN Sabah, dengan dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim selaku timbalan.
Mengulas mengenai pelantikan itu Mustapha berkata, perubahan ini menzahirkan nilai parti sentiasa membudayakan amalan demokrasi yang segar.
“Disamping itu PKR Sabah dapat menyantuni mengangkat kearifan tempatan, selaras dengan misi dan visi untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah MA63,” jelas Mustapha.