KOTA KINABALU : Satu mesyuarat diadakan dalam tempoh terdekat bagi menentukan tindakan terhadap insiden sebuah lori melanggar gerbang Kampung Sukau Kinabatangan sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Vivian Wong berkata, mesyuarat ini dihadiri bersama anggota LPKP Sabah bagi menentukan tindakan terhadap pemandu lori terbabit.
Katanya, berdasarkan laporan awal
diterima insiden terbabit berpunca daripada kecuaian pemandu sehingga tidak menyedari dump lori
terangkat sendiri sehingga melanggar gerbang berkenaan.
“Semakan data LPKP Sabah mendapati lori terlibat dalam insiden tersebut mempunyai lesen pembawa A yang aktif beroperasi di bawah LPKP Sabah.
“Ia dimiliki sebuah syarikat beralamat depot di Bukit Garam, Kinabatangan sekali gus melibatkan operasi di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Saya mengarahkan agar rekod pemandu dan kenderaan terbabit disemak bagi memastikan sekiranya terdapat ada rekod kemalangan sebelum ini atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Vivian merupakan Ahli Parlimen Sandakan berkata, semua pemilik diingatkan agar memastikan kenderaan digunakan sentiasa dalam keadaan baik serta membuat pemeriksaan berkala.
“Ini memastikan pemandu terbabit boleh mengendalikan sepenuhnya kenderaan mereka dengan cermat serta selamat bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
“Sekiranya berlaku insiden akibat kecuaian, saya tidak akan berkompromi termasuk
mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat berdasarkan kuasa diberikan kepada saya di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334),” jelas Vivian.
Menurutnya, ketika ini beliau menerima banyak pertanyaan berkaitan pembaikan gerbang yang telah musnah akibat insiden tersebut.
“Saya berpendapat syarikat terbabit perlu mengambil tanggungjawab membaiki gerbang tersebut dan menyelaras perkara ini dengan pihak berkuasa tempatan.
“Ini bagi memastikan gerbang yang menjadi mercu tanda pelancongan Sukau dapat dibaiki segera,” kata Vivian.