LABUAN : Pembinaan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) terletak di Jalan Batu Arang Kampung Tanjung Aru dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, projek PPR dua Blok 13 tingkat bernilai RM112 juta itu turut dilengkapi dewan komuniti, surau, tadika, rumah kedai dan permainan kanak kanak.

“Setiap unit mempunyai tiga bilik berkeluasan 700.19 kaki persegi itu dapat memberi keselesaan kepada penduduk yang memerlukan kediaman.
“Kita menekankan komitmen pemaju dalam mematuhi piawaian garis masa tertentu sekali gus mengariskan kepentingan tarikh penyerahan projek itu,” katanya di sini kelmarin.
Zaliha berkata, beliau mengarahkan Perbadanan Labuan (PL) menjalin kerjasama dengan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan PPR itu memberi manfaat kepada penduduk.
“Ini termasuk memastikan penyerahan dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang ditetapkan. Begitu juga projek pembinaan Sekolah Menengah Agama Labuan di Sungai Bedaun, projek sedang dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 202,” jelas Zaliha.
Menurutnya, projek menelan belanja RM65 juta dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi manfaat kepada 600 pelajar aliran agama khususnya kepada anak asnaf di pulau ini.
“Apabila beroperasi sekolah itu bukan sahaja terbuka kepada anak anak asnaf tempatan tetapi juga asnaf dari Sabah dan Sarawak,” tambah Zaliha.