KOTA KINABALU : Kerajaan menyokong setiap usaha Kinabalu Yacht Club (KYC) bagi membolehkan kelab ini meningkatkan promosi pelancongan melalui sukan pelayaran di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Christina Liew berkata, ini merupakan satu contoh terbaik kepada persatuan lain sekali gus dapat memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan sukan.
Katanya, sukan pelayaran merupakan antara aktiviti paling diminati terutama atlet luar negara dikenalpasti mampu menjadi sumber pelancongan sukan di Sabah.
“Kita ucapkan selamat maju jaya kepada kelab ini dalam usaha mereka untuk mempromosikan sukan pelayaran sebagai tawaran pelancongan baharu di Sabah.
“Anda telah melengkapkan usaha kerajaan untuk merangsang pelancongan melalui aktiviti sukan yang mampu menarik pelancong luar datang ke Sabah,” katanya di sini semalam.
Christina berkata, beliau memuji usaha Persatuan Pelayaran Sabah dan guru-guru atas keperihatinan serta kerjasama mereka dalam menjayakan regatta ini.
Dalam kejohanan ini kira-kira 80 orang menyertai acara anjuran bersama KYC dan Persatuan Pelayaran Sabah.