LABUAN: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Lubok Temiang dari Wilayah Persekutuan Labuan muncul naib johan Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik pada Anugerah Rukun Tetangga Perdana peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan, baru baru ini.
KRT Lubok Temiang calon tunggal dari Borneo bagi kategori tersebut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM8,000 beserta plak dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
Pengerusi KRT Lubok Temiang, Awangku Sazali Pg Salleh berkata, Jawatankuasa KRT Lubok Temiang sentiasa mengutamakan pengurusan secara teratur selain menganjurkan pelbagai program berasaskan perpaduan kaum dengan memperkasakan ekonomi komuniti.
Awangku Sazali berkata, sepanjang pentadbiran beliau sebagai Pengerusi KRT Lubok Temiang dan juga Ketua kampung telah merangkul tiga anugerah iaitu Naib Johan Anugerah Ilham Desa 2021 peringkat Kebangsaan, Johan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera 2022 peringkat Wilayah Persekutuan dan Naib Johan Anugerah Rukun Tetangga Perdana 2023 peringkat Kebangsaan.
“Sebanyak 8,938 KRT dari seluruh negara menyertai penilaian anugerah tersebut, namun lima KRT terbaik sahaja dijemput hadir ke acara tersebut,” katanya.
Katanya anugerah yang diadakan setiap dua tahun sekali itu menyediakan lapan kategori membabitkan Anugerah Jiran Wanita Terbaik, Anugerah Warga Emas Terbaik, Anugerah Tunas Jiran Terbaik, Anugerah Projek Ekonomi Terbaik dan Anugerah Pengurusan KRT Terbaik.
Beliau berkata anugerah Rukun Tetangga yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada KRT cemerlang dan banyak menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan membangun ekonomi Rukun Tetangga yang berdaya maju, berinisiatif dan berdaya cipta untuk pembangunan komuniti lestari, mampan dan progresif.