KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Warisan menggesa Kerajaan Negeri Sabah memberi penjelasan mengenai aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung, Tawau yang tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata berkata aktiviti berkenaan menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk dari aspek kestabilan tanah dan keselamatan kawasan serta pencemaran alam sekitar.
Katanya Kerajaan Negeri menyatakan kenapa perlombongan emas di kawasan itu masih berterusan walaupun tidak mendapat kelulusan daripada JMG.
“Adakah syarikat melombong itu mendapat kebenaran daripada Pejabat Hasil Bumi atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk terus menjalankan aktiviti melombong di Bukit Mantri walaupun tiada kelulusan daripada JMG.
“Sehingga kini kerja-kerja perlombongan masih berlaku di situ, maka Kerajaan Negeri mesti beri penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, surat yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi Southsea Gold Sdn Bhd, tamat tempoh pada 29 Ogos 2023 tetapi pihak JMG tidak menerima sebarang permohonan baharu daripada syarikat tersebut.
Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong yang bermesyuarat pada 22 Ogos 2023 telah mengesyorkan supaya semua aktiviti perlombongan dan pemprosesan di atas CL. 105651439, Bukit Mantri, Balung, Tawau, diberhentikan operasi sehingga permohonan baharu Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong dikemukakan.
Katanya satu surat yang dikeluarkan JMG kepada Wullersdorf Resources Sdn Bhd memberitahu bahawa permohonan SKSPM syarikat itu tidak dipertimbangkan kelulusan sehingga mereka mengemukakan semula cadangan Skim Pengendalian Melombong untuk pertimbangan jawatankuasa terbabit.
Katanya Southsea Gold Sdn Bhd yang melakukan kegiatan melombong di Bukit Mantri adalah anak syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd.
Selain permohonan baharu SKSPM, mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan surat kelulusan Penilaian lmpak Alam Sekitar (EIA) dan dokumen-dokumen kebenaran menduduki kawasan selain dari lot hak milik syarikat di kawasan itu, katanya.
Sarifuddin berkata, jika kawasan itu benar-benar mempunyai emas yang banyak dan Kerajaan Negeri ingin memajukannya, perkara itu perlulah dilihat dari pelbagai sudut dan kajian harus dibuat terlebih dahulu demi kepentingan penduduk di kawasan Balung dan rakyat Sabah amnya.
“Kita harus letak kepentingan rakyat terlebih dahulu dan jaga alam sekitar. Pastis kaedah perlombongan yang selamat. Jangan pula guna kaedah sianida,” katanya.
Beliau mahu tindakan yang tegas dan segera untuk mengelak perlombongan mineral haram daripada merebak yang boleh mengakibatkan bencana besar dan menjejaskan keselamatan rakyat, seperti yang pernah berlaku di Kuantan.