KPDN Sandakan laksana operasi pemeriksaan di pasar, pastikan peniaga patuhi peraturan

SANDAKAN : Sepasukan pegawai penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Cawangan Sandakan telah menjalankan operasi pemeriksaan di Pasar Sibuga Jaya, Batu 8 di sini hari ini.

Operasi diketuai oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Azdy Zukkry John yang berkata pemeriksaan bertujuan untuk memastikan semua peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

Katanya, ia khusus berkaitan penggunaan alat timbang yang telah ditentusahkan di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972 serta tanda harga semua barang yang dijual dipamerkan dengan jelas di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

“Pemeriksaan yang dijalankan di pasar pada hari ini mendapati semua peniaga menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan dan tanda harga ada dipamerkan ke atas barangan yang dijual.

“Notis Amaran Meletakkan Tanda Harga juga telah diedarkan kepada semua peniaga yang diperiksa bertujuan sebagai peringatan agar mereka sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dengan mempamerkan tanda harga jualan di gerai masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sejak awal 2024 sehingga kini, sebanyak 1,965 premis perniagaan yang meliputi 897 premis di bandar dan 1,068 premis luar bandar di Sandakan telah diperiksa KPDN Cawangan Sandakan.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 54 kes telah dihasilkan membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM1,000,520.35 manakala sebanyak 30 kes telah dikompaun dan nilai kutipan berjumlah RM6,100. Selain itu, dua kes telah didakwa di mahkamah dan didenda sebanyak RM20,000.

“Dari segi aduan, sebanyak 46 aduan diterima oleh KPDN Sandakan sejak 1 Januari 2024 sehingga kini dan 43 (93.5 peratus) aduan telah selesai disiasat manakala tiga aduan lagi sedang dalam siasatan.

“KPDN Cawangan Sandakan akan meneruskan operasi pemeriksaan khasnya di pasar-pasar tumpuan utama pengguna di daerah ini bagi mempastikan para peniaga terus mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN,” jelasnya.