KOTA KINABALU : Sebanyak 4,339 geran draf membabitkan keluasan 8,787.41 hektar untuk permohonan tanah bersyarat Native Title NT dan Field Register (FR disediakan sepanjang tahun 2023.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sama ada syarat CL ataupun NT adalah tertakluk kepada pengukuran di lapangan sebelum geran draf NT atau Country Lease (CL) dapat disediakan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Katanya, sebanyak 406 geran draf dengan keluasan 5,199.53 hektar untuk permohonan tanah bersyarat leases disediakan sepanjang tahun 2023.
“Geran NT/FR hanya boleh diberi milik kepada anak negeri Sabah sahaja. Manakala, CL boleh diberi milik kepada syarikat, badan berkanun dan juga individu sama ada berasal atau bukan berasal dari Sabah.
“Sentiasa memberi keutamaan kepada pemberimilikan tanah anak negeri dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan dan juga meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya,” katanya pada sesi soal jawab Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang Ke-16, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan (Datuk Raime bin Unggi [ADUN Dilantik]) mengenai jumlah keluasan tanah dan bilangan geran NT dan CL yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan untuk pemohon yang terdiri daripada rakyat Sabah.
Nizam berkata, berdasarkan statistik JTU, jumlah geran tanah berdaftar NT/FR setakat 31 Mac 2024 adalah sebanyak 230,540 ataupun 54 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang berdaftar di negeri Sabah.
“Jumlah tanah pajakan tiga (leases) berdaftar setakat 31 Mac 2024 ialah sebanyak 200,087 ataupun 46 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah berdaftar.
“Tanah pajakan (leases) adalah penting dalam pembangunan ekonomi negeri Sabah iaitu dari segi kutipan hasil negeri, pembangunan, pelaburan dan juga peluang pekerjaan,” jelas Nizam.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memastikan keseimbangan diantara bilangan keseluruhan NT/FR dan tanah pajakan (leases) iaitu dari segi pemberimilikan tanah demi mencapai objektif untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan negeri.