KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bermula 23 hingga 27 Disember bagi mengekang kenaikan harga barangan keperluan menjelang sambutan Krismas.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata skim selama lima hari itu melibatkan 14 barangan utama, termasuk daging kambing import, sayur-sayuran terpilih, kepak ayam serta daging dan babi hidup bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan ditetapkan berdasarkan keadaan semasa supaya pengguna dapat menikmati harga berpatutan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada peniaga.
“KPDN akan menempatkan pegawai penguat kuasa di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan harga maksimum,” katanya.
Peniaga diwajibkan memaparkan label harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, manakala tindakan tegas boleh dikenakan terhadap pihak yang menjual melebihi harga ditetapkan.
Selain kawalan harga, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI Krismas serta Program Servis Ihsan MADANI@Petronas dari 18 hingga 27 Disember bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
