KOTA KINABALU : Kewujudan konflik antara manusia dan gajah harus dilihat sebagai cabaran yang dapat memberi impak positif sekali gus bukan sekadar beban semata-mata.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew, berkata Sabah merupakan satu-satunya lokasi di dunia menjadi habitat bagi Gajah Borneo.
Katanya, spesies gajah terkecil ini semakin terancam akibat kehilangan habitat disebabkan pertembungan dengan aktiviti manusia.
“Di sebalik konflik antara manusia dan gajah juga akan memberi impak positif kepada komuniti tempatan.
“Kita harus menjadikannya peluang untuk memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui pendekatan seperti pemuliharaan berasaskan komuniti, inisiatif ekopelancongan dan skim pampasan,” katanya di sini semalam.
Christina berkata, perancangan pengurusan gajah tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Gajah Borneo memastikan dapat dilaksanakan di pusat pemeliharaan gajah di Sabah.
“Matlamat kita jelas, kami mahu fasiliti gajah dalam kurungan seperti Bornean Elephant Sanctuary dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai pusat kecemerlangan.
“Fasiliti tersebut bukan hanya berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara bagi gajah yang tidak dapat dilepaskan semula ke hutan, malah menyokong usaha pemulihan, penyelidikan, dan pelancongan beretika,” jelas Christina.
Menurutnya, pelaburan dalam infrastruktur, latihan, serta pengiktirafan kepada penjaga gajah penting bagi meningkatkan kebajikan gajah serta menambah nilai kepada industri pelancongan Sabah.
“Melalui pelaksanaan pelan ini, kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, serta pihak berkepentingan lain akan membentuk model pemuliharaan dijadikan contoh di peringkat antarabangsa.
“Kini hanya terdapat 1,005 ekor Gajah Borneo, kita menggesa penguatkuasaan undang-undang diperkukuhkan untuk melindungi gajah daripada ancaman pemburuan serta pembunuhan haram pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan, perangkap jerat dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kepada hidupan liar, perlu dihapuskan.
“Ini memerlukan rondaan yang lebih kerap serta penghapusan perangkap-perangkap haram lain.
“Hanya tindakan tegas serta komitmen tidak berbelah bahagi, kerajaan dapat memastikan perlindungan dapat diberikan kepada Gajah Borneo serta hidupan liar lain di Sabah,” tegasnya.