TAWAU : Empat lelaki warga asing yang menyalahgunakan pas khas diberikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pulang ke negara asal ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan di Jalan Bugaya, Semporna, semalam.
Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata empat individu itu memasuki Sabah sebagai pelancong dan berdasarkan semakan pas lawatan sosial mereka tamat pada 18 Mac bagaimanapun sebelum itu mereka menyerah diri bagi tujuan balik ke negara asal.
“Berikutan itu kita bagi 30 hari tempoh pas khas dan sepatutnya meninggalkan Sabah (dalam tempoh itu) namun mereka didapati menyalahgunakan pas terbabit untuk berkerja, dan semasa serbuan pada 8 pagi itu mereka sedang bekerja bagi pembinaan resort.
“Semua pelancong perlu mematuhi tempoh keberadaan di Sabah dan tidak menyalahgunakan pas iaitu bekerja di kawasan tidak sepatutnya. Mereka sepatutnya menjadi pelancong tetapi datang dengan niat bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata empat lelaki warga China itu antara 88 individu, termasuk warga Pakistan dan Filipina yang ditahan oleh penguat kuasa imigresen ketika operasi dijalankan di sekitar Semporna sejak semalam hingga 4 pagi tadi.
“Selain tapak pembinaan, serbuan juga dilakukan di dua kawasan setinggan di Jalan Bubul Lama serta dua premis individu di Jalan Tagasan di Semporna, kesemua tahanan itu melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Dalam serbuan itu terdapat tiga warga Pakistan yang menyalahgunakan pas lawatan sosial, mereka ini tinggal terlalu lama. Ketika serbuan di rumah sewa mereka, kita juga menemukan kain sarung dan kain batik yang masih dalam bungkusan dipercayai untuk dijual,” katanya.
Beliau berkata sejak Januari hingga 4 April lepas, JIM Sabah melaksanakan 464 operasi sekali gus menahan 1,440 individu atas pelbagai kesalahan serta 37 majikan turut didakwa di mahkamah.