KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Arif Havas Oegroseno di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Arif dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia mulai semalam, dengan dua hari di Sabah diikuti sehari di Kuala Lumpur.
Kedua-dua pihak berbincang mengenai pelbagai isu, khususnya berhubung kesepakatan keselamatan perbatasan, selain isu ekonomi yang melibatkan kerjasama perdagangan di antara Sabah dan Indonesia.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shahminan Ag.Sahari; Pengarah Jeneral Hukum dan Perjanjian Antarabangsa L. Amrih Jinangkung; Konsul Jeneral Republik Indonesia Rafail Walangitan; dan Konsul Indonesia di Tawau Aris Heru Utomo.