Kompleks JKKN bakal jadi pusat kecemerlangan – Khairul Firdaus

KOTA KINABALU: Kompleks Jabatan Kesenian Dan Kebudayaan Negara (JKKN) bakal dicadangka menjadi Pusat Kecemerlangan sektor kesenian dan budaya warisan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, ke arah itu, pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi memperkasa dan menyemarakkan kompleks JKKN menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan.

“Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan melibatkan lebih ramai persatuan dan agensi penggiat industri serta pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dalam setiap program yang kita anjurkan seperti hari ini agar mereka tahu dan memahami fungsi sebenar kementerian kita.

“Dengan kelengkapan peralatan yang cukup serta pelbagai kemudahan yang disediakan di Kompleks JKKN, kita memberi peluang kepada semua pemain industri daripada setiap peringkat untuk berkarya,” katanya di sini hari ini.

Firdaus berkata, pendekatan di lapangan perlu diperbanyakkan termasuk membuat program ke daerah bagi mengesan bakat yang terpendam untuk dikembangkan.

Ini termasuklah mengadakan pelbagai aktiviti kecemerlangan melalui latihan serta kursus dalam bidang seni dan budaya.