KOTA KINABALU : Naib Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, S.A Ramlye dan Setiausaha TABS, Amsir Abdullah mengadakan kunjungan hormat dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sabah FC, Syazwan Imran di pejabatnya pada Selasa.
Kunjungan itu bagi memperkasakan lagi kolaborasi kedua-dua pihak selain memaklumkan perkembangan program pembangunan bola sepak yang dikendalikan TABS SAFA Bandaraya.
“Perbincangan kami lebih berkisar kepada program pembangunan yang kami jalankan dan kita berterima kasih dengan kerjasama berterusan Sabah FC dan ia membantu meningkatkan lagi pengendalian program tersebut,” jelas Ramlye
Menurutnya, TABS SAFA Bandaraya telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Sabah FC selama empat tahun sehingga 1 Mei 2026.
“Kita sentiasa membantu dan memberi kerjasama baik kepada Sabah FC agar kolaborasi antara kedua pihak berjalan baik dan memberi manfaat kepada kelab profesional tersebut,” katanya.
Naib Pengerusi TABS itu juga memaklumkan kepada Syazwan mengenai penyusunan semula bahagian kejurulatihannya agar lebih kompetitif dan sesuai dengan perkembangan semasa.
“Ini sangat penting khususnya dalam pengendalian program pembangunan bola sepak yang membabitkan ramai pelatih dari peringkat umur enam tahun ke bawah hingga 17 tahun,” tambah Ramlye.
Beliau berkata, kedua-dua pihak akan terus mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bagi memastikan kolaborasi antara mereka terus segar dan sentiasa diperkasakan.