PPIB UMS jenamakan semula bilik mesyuarat, hargai jasa pengasas

KOTA KINABALU : Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjenamakan semula Bilik Mesyuarat Utama sebagai Bilik Mesyuarat Ahmat Adam, sempena nama pengasas PPIB, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, program itu sebagai inisiatif PPIB dalam menghargai jasa dan sumbangan pengasas serta pemimpin PPIB.

Katanya, penjenamaan dipilih sangat teliti demi mencerminkan nilai-nilai kebersamaan yang diharapkan akan diterapkan dalam setiap perbincangan pada masa akan datang.

“Bilik Mesyuarat ini menjadi tempat di mana idea-idea cemerlang bersatu. Diharapkan agar ruang ini akan menjadi tempat di mana segala perbincangan berlangsung dengan penuh hormat, kejujuran, dan kefahaman.

“Penjenamaan ini untuk memperingati perjalanan PPIB sebagai organisasi yang menggambarkan usaha bersama dalam membina hubungan yang kukuh dan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni,” katanya.

Sementara itu, Dekannya, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, pihaknya menzahirkan rasa penghormatan dan penghargaan yang besar kepada UMS dan PPIB.

“Hidup ini adalah ibarat sebuah perjalanan, bukannya sebuah destinasi. Ia penuh dengan pengajaran, seksaan jiwa, kegembiraan, perayaan, dan saat-saat istimewa yang akan menghala ke arah destinasi kita, tujuan kita dalam kehidupan,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar PPIB  menyebarkan ilmu yang memanfaatkan bukan sahaja kepada pelajar UMS yang berteraskan kemanusiaan dan kesejagatan pemikiran yang berunsur kesarjanaan.