KOTA KINABALU: Semua parti tempatan di Sabah perlu mempunyai semangat keikhlasan dalam meningkatkan kesedaran perjuangan sebenar menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
Pengasas Kempen Pergerakan Kesepaduan Borneo, Jimmy Lai berkata, ini penting sekiranya Sabah mahu mencapai pembangunan mampan sekali gus segala hak keistimewaan Sabah dalam MA63 termasuk mendapatkan 40 peratus hasil Sabah dapat dicapai kelak.

Katanya, bagi mencapai matlamat tersebut pihaknya akan menjalin kerjasama bersama kumpulan DNA63 dengan badan aktivis yang dipimpin Irwan Idris.
“Kita akan bekerjasama untuk melawat ke setiap daerah di Sabah bertemu dengan pengundi tempatan serta menjelaskan kepentingan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63.
“Saya berharap agar semua lapisan masyarakat di Sabah akan kekal bersatu tanpa mengira perbezaan, ia penting demi memastikan masa depan yang lebih selamat,” kata dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu Jimmy Lai melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serumbu Miro Simuh di sini semalam.
Mengulas mengenai kunjungan tersebut beliau berkata, ia bagi mendapatkan pandangan memperkasakan lagi kefahaman masyarakat mengenai kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sarawak kini berada dalam landasan tepat ke arah pembangunan secara menyeluruh dan lebih maju berbanding di negeri ini.
“Sabah perlu mencontohi Sarawak dalam perancangan pembangunan. Salah satunya perlu memiliki syarikat penerbangan sendiri, demi manfaat rakyat sekali gus mampu memperoleh tambang tiket penerbangan yang berpatutuan,” jelas Jimmy Lai.
Dalam masa sama, Sarawak merancang untuk menyediakan sistem pendidikan tinggi secara percuma kepada rakyat Sarawak pada 2025 atau 2026.
“Sabah harus mencontohi perkara ini agar belia kita berpendidikan tinggi sekali gus boleh menguatkan lagi ekonomi serta kemudahan asas pada masa depan,” tambah Jimmy Lai.