Gandingan Ewon – Arthur beri wajah baharu nilai dan makna kerjasama

KOTA KINABALU: Penampilan bersama dua Presiden parti daripada Sabah yang berada di Kabinet Persekutuan telah memberi wajah baharu nilai dan makna kerjasama di antara parti-parti politik daripada Sabah.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Kurup telah melaksanakan kerjasama rentas kementerian bermula di kawasan masing-masing dan meneruskan inisiatif tersebut ke seluruh Sabah.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), manakala Arthur sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengadakan sesi libat urus kolaborasi kedua-dua kementerian di sini, semalam.

Sesi tersebut bertujuan memberi penerangan kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing mengenai dasar dan inisiatif kementerian, agensi dan jabatan di bawah KUSKOP dan KPKM sebagai usaha memantapkan jentera penyampaian kerajaan melalui penglibatan pimpinan kedua-dua parti.

Ketika ditanya media, kedua-dua Presiden parti tersebut menyatakan komitmen untuk memperkasakan kerjasama yang telah dimulakan bersama sebaik sahaja Kabinet Kerjaaan MADANI ditubuhkan kepada kerjasama politik pada masa akan datang.

Menurut Ewon, rakyat boleh menilai kerjasama yang sedang dilaksanakan dan juga kerjasama politik menjelang pilihanraya negeri Sabah.

“Kita mulakan kerjasama melalui peranan di kementerian masing-masing dan pada saya, jika rakyat menerima kerjasama yang baik ini, kenapa pula dihalang kerjasama lain yang mungkin akan terjadi pada masa hadapan?

“Bagaimanapun, pada masa ini, wajar untuk saya dan Datuk Arthur berusaha dan bekerjasama mengikut kapasiti di kementerian masing-masing untuk deliver apa yang sepatutnya kita deliver kepada rakyat di negara kita dan di Sabah, khasnya.

“Biar rakyat menilainya sendiri, kita tidak mahu kerjasama auta. Kita mahu satu bukti yang kita sudah boleh bekerjasama,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Kolaborasi KUSKOP dan KPKM tersebut.

Mengenai kerjasama kedua-dua parti menjelang pilihanraya, Arthur berkata kedua-dua parti yang mereka wakili telah sama-sama membentuk Kerajaan MADANI dan kerjasama semasa pilihanraya akan dibincangkan berlandaskan kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpinan atasan.

“Kita di peringkat akar umbi khususnya di Sabah, yang penting kita buat dulu kerja untuk tunjukkan apakah nilai yang kita boleh bawa kepada rakyat dan rakyat boleh menilainya.

“Kita juga ingin menunjukkan bahawa kita berfikiran terbuka dan inovatif mencari kaedah baharu untuk bekerja melalui kerjasama politik.

“Kita ingin menunjukkan bahawa masa depan politik di Sabah amat cerah dengan golongan pemimpin yang ada sekarang, parti-parti tempatan di Sabah dan mungkin lebih cerah dengan gandingan kepimpinan daripada generasi muda,” katanya.