KKM akan tambah bilangan Pakar Perubatan Hospital Labuan

LABUAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk menambah bilangan Pakar Perubatan di Hospital Neklues Labuan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat jumlah pesakit termasuk pesakit kronik.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada tindakan untuk meningkatkan keupayaan hospital Nukleus Labuan dengan menambah bilangan pelbagai pakar perubatan.

“Sehingga kini, Hospital Nukleus Labuan mempunyai pegawai dan kakitangan perubatan sokongan yang mencukupi, namun kita sedia maklum terdapat pesakit yang menghidap penyakit tertentu yang perlu segera dipindahkan ke hospital di tanah besar Sabah (Kota Kinabalu),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Jabatan Kesihatan Labuan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Datuk Zainal Alhakab Seman, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan Dr Francis Paul dan Pengarah Hospital Nukleus Labuan Dr Adnan Musa Balidran.

Lukanisman berkata, Kementerian menyedari cabaran yang dihadapi penduduk Labuan ketika melakukan perjalanan ke tanah besar Sabah untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Memang tidak dapat dinafikan penduduk Labuan yang ingin mendapatkan rawatan ke Tanah Besar Sabah menghadapi masalah yang agak kritikal, kerana kos pengangkutan seperti tiket kapal terbang yang mahal dan kesukaran bermusim dalam mendapatkan tiket feri.

“Kita perlu lihat dasar kita mengenai cara untuk menangani isu isu yang membelenggu pesakit di pulau ini untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof yang baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Labuan sedang meneliti penyelasaian terhadap aspirasi rakyat untuk merapatkan jurang logistik antara Labuan dengan tanah besar Sabah.

“Kami yakin Kerajaan MADANI komited untuk membantu rakyat Labuan melalui pelbagai platform terutamanya yang membabitkan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan,” katanya.